Jumaat, 15 Mac 2013

TAREE ZAMEEN PAR (LIKE STARS ON EARTH)



Cerita ini mengisahkan seorang budak lelaki yang mengalami sejenis penyakit atau sindrom yang kita kenali sebagai dileksia, namun dia mempunyai bakat yang besar dalam bidang seni. Namanya Ishaan. Ishaan Aswatri.

Ishaan berumur 8 tahun, namun masih gagal membaca dan menulis. Ibu dan bapanya yang langsung tidak tahu berkenaan dileksia mendesak Ishaan untuk belajar membaca dan menulis serta lulus dalam peperiksaan seperti abangnya yang memang pintar dalam pelajaran. Setiap hari Ishaan dimarahi ayahnya kerana gagal dalam ujian. Akhirnya ayahnya mengambil keputusan untuk menghantar Ishaan ke sekolah berasrama, sebuah sekolah pemulihan. Ishaan terlalu sedih dengan keputusan ayahnya dan tidak sanggup berjauhan dengan ibunya. Dan Ishaan pun terpaksalah menetap di sekolah berasrama tersebut. Hari- hari dia dimarahi guru-gurunya dan diketawakan rakannya kerana tidak mampu membaca dan menulis. Hatta dalam kelas seni pun dia tidak melukis. Dia sering menangis. Dibuang semua buku-bukunya dalam tong sampah. Dilontar begnya keluar tingkat. Mungkin saat itu dia hilang keyakinan diri..dan merasakan diri terlalu kurang berbanding orang lain. Sehinggalah satu hari datang seorang guru seni yang baru Mr. Nikhumb.

Nak tahu bagaimana Mr. Nikhumb berusaha membantu Ishaan untuk memperolehi keyakinan dia kembali dan mengembangkan bakatnya dalam bidang seni? Sebelum itu, kita lihat sedikit ciri-ciri kanak-kanak yang mengalami dileksia:Apa itu Disleksia, Penyakit disleksia,Info disleksia


Dalam satu kelas seni, Mr. Nikhumb menceritakan kepada pelajarnya tentang beberapa orang yang hebat seperti Albert Enstein dan beberapa tokoh lain yang pada awalnya langsung tidak tahu membaca dan menulis. Tapi mereka Berjaya menjadi orang hebat yang namanya disebut sehingga ke hari ini. Ishaan mula tertarik mendengar cerita gurunya. Dia sudah mula tersenyum.


Mr. Nikhumb berusaha gigih mengajar Ishaan menulis dan membaca dengan cara yang berlainan daripada guru-guru Ishaan yang lain. Sehingga akhirnya Ishaan mampu membaca dan menulis dengan baik dan prestasinya dalam pelajaran juga meningkat. Pada suatu hari Mr. Nikhumb telah menganjurkan pertandingan melukis yang melibatkan semua guru dan pelajar sekolahnya. Dalam pertandingan itu, Ishaan telah mendapat tempat yang pertama.

Apa yang ingin saya ceritakan, kepada ibu bapa sekalian, jika anak-anak tidak membesar seperti anak-anak yang lain, lakukanlah pemeriksaan dengan pakar-pakar untuk mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh anak. Jangan sekali-kali membandingkan anak-anak yang menghadapi masalah dengan anak-anak yang membesar secara normal. Bila Allah telah menciptakan dia sebegitu rupa, pasti ada kelebihan padanya yang ibu bapa perlu cari, selidik dan kembangkan. Rangsang anak-anak yang menghadapi masalah seperti ini dengan sesuatu yang menjadi minat mereka. Tumpukan mereka dengan kasih sayang yang tak berbelah bagi kepada mereka agar mereka rasa dihargai. Ingat, anak- anak itu amanah Allah, bagaimanapun rupanya, sifatnya, mereka adalah amanah yang perlu kita bimbing sehingga ke syurgaNya.

Satu cerita: di kepulauan Solomon, jika penduduknya ingin menerangkan kawasan hutan, mereka tidak akan menebang pokok-pokok, tapi mereka akan memaki hamun pokok itu sehingga mereka layu dan mati dengan sendirinya. Renung-renungkan.

Kesimpulannya, tiada yang mustahil dengan kuasa Allah. Usaha dan tawakal, akhirnya Ishaan dapat membaca dan menulis, apa yang penting adalah perhatian dan kasih sayang sepertimana yang Mr. Nikhumb tunjukkan. Waalahua'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan