Khamis, 14 Mac 2013

PENGURUSAN BILIK DARJAH



Bilik darjah merupakan medan perjuangan utama seorang guru menjalankan tugas,peranan dan tanggung jawab. Seseorang guru akan diklasifikasikan sebagai tidak melaksanakan tugas sekiranya amanah ini diabaikan walaupun beliau merupakan seorang juara masyarakat yang paling komited di luar bilik darjah atau di luar sekolah. Seseorang itu tidak akan dikatakan sebagai pemain jika sekadar duduk di luar padang walaupun mempunyai kemahiran sebagai juara. Sehubungan dengan itu, bilik darjah perlu diurus dengan keadaan terbaik dan kondusif agar pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan efektif serta guru boleh dinobatkan sebagai pendidik berketerampilan cemerlang.

Pada asanya, pengurusan bilik darjah merupakan kemahiran yang agak sukar dikuasai walaupun banyak teori dan teknik yang telah dipelajari oleh guru pelatih di universiti maupun di institut-institut perguruan. Sekiranya kemahiran ini dapat dikuasai dan dihayati oleh guru pelatih, proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah akan menjadi pengalaman yang menyeronokkan. Bilik darjah yang mempunyai pelajar-pelajar yang bertingkah laku baik menjadikan tugas pengajaran guru “one of the most wonderful jobs in the world” kerana setiap hari guru mengalami pelbagai pengalaman yang baru dan berbeza di bilik darjah.

Guru berpeluang melihat pelajar mereka mempelajari sesuatu yang baru setiap hari; berpeluang melihat kepuasan di wajah pelajarnya bila mereka mendapat ilmu yang mereka tidak pernah ketahui atau alami sebelum ini. Walau apapun pelajar kita tidak mudah melupakan guru yang baik, tetapi apakah sebenarnya maksud menjadi seorang“guru yang baik?” Salah satu ciri yang asas untuk menjadi guru yang baik adalah kemampuan mengurus bilik darjah dan mengawal tingkah laku pelajar agar proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan lancar. Kemampuan mengawal tingkah laku pelajar menjadi sangat penting sekiranya seseorang guru mengajar di sekolah yang menghadapi masalah tingkah laku yang serius.

Fungsi utama anda sebagai seorang guru, adalah berusaha untuk memotivasi pelajar untuk belajar. Ini boleh berlaku sekiranya anda boleh membuat pelajar itu memberi sepenuh perhatian, berdisiplin dan bertingkah laku baik semasa sesi pengajaran anda. Setiap pelajar di sekolah memerlukan pendidikan yang baik yang boleh guru tawarkan. Menjadi tanggungjawab guru mencari jalan untuk mencapai matlamat ini. Di sesetengah sekolah mengurus dan mengawal tingkah laku para pelajarnya merupakan satu cabaran hebat yang perlu guru harungi bagi menjadikan pembelajaran dan pengajaran lebih kondusif di bilik darjah.

Guru-guru boleh mempelbagaikan kemahiran pengajaran dalam menjalankan tugas harian mereka di sekolah. Mereka perlu menjadi seorang yang pakar dalam subjek yang mereka ajar, dan juga mesti mempunyai kemahiran mengawal tingkah laku pelajar yang disruptif di bilik darjah agar proses pembelajaran dan pengajaran berlaku di bilik darjah.

Guru-guru pelatih yang menjalani praktikum kerap kali dibiarkan mereka `sink or swim’(Renard, 2003) dan ini mengakibatkan berlakunya kekecewaan dan kurang keyakinan di kalangan guru-guru pelatih dalam menghadapi realiti di bilik darjah.Idea-idea dan nasihat yang diberikan berdasarkan “common sense” dan
pemerhatian serta strategi yang telah berjaya diaplikasikan di bilik darjah. Harapan penulis agar artikel ini dapat menjadi sumber rujukan yang sangat berguna bagi guru pelatih untuk mereka mengaplikasikan idea-idea serta tips yang terdapat dalam blog ini apabila mengurus bilik darjah semasa mereka menjalankan tugas seharian.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan