Khamis, 14 Mac 2013

ASAS-ASAS KEMAHIRAN PENGURUSAN BILIK DARJAH



Kebelakangan ini tentunya tiada siapa yang dapat menafikan bahawa kerjaya sebagai seorang guru banyak dibebani dengan pelbagai tugas yang rencam dan tidak profesional. Beban tugas yang dipertanggungjawabkan ini mungkin akan memberi beberapa implikasi positif dan negatif kepada kerjaya seorang guru khususnya guru pelatih. Apapun tugas yang perlu dilakukan, seorang guru, mereka haruslah bijak mengurus dan mengatur masa dalam memastikan segala tugas sampingan yang dipertanggungjawabkan ini tidakmengganggu tugas utama mereka mengurus bilik darjah dengan baik.

Menurut pendapat yang disuarakan oleh guru-guru pelatih, pengurusan bilik darjah merupakan komponen yang paling sukar untuk dikuasai walaupun banyak teori yang telah dipelajari dan banyak teknik yang telah cuba diaplikasikan. Masalah ini seolah-olah tiada penawar yang dapat menyelesaikannya secara pantas dan tuntas. Pengurusan bilik darjah termasuklah mengurus tingkah laku pelajar merupakan kemahiran yang hanya
akan dicapai melalui pengalaman mengajar. Perkara utama yang perlu diberi perhatian oleh guru pelatih ialah bagaimana beliau akan mengurus bilik darjah pada hari pertama beliau melangkah masuk ke bilik darjah
untuk mengajar. Para pelajar secara langsung akan terus menilai guru yang akan mengajar mereka. Bagi mereka guru tersebut merupakan individu yang begitu asing buat mereka dan mereka akan meneliti setiap gerak-geri guru pelatih tersebut sebelum mereka menunjukkan tingkah laku mereka yang sebenar. 

Sebagai seorang guru pelatih, anda perlu lebih bersedia dan merancang apakah yang akan anda lakukan pada kali pertama melangkah masuk ke dalam bilik darjah. Elemen-elemen ini merupakan sesuatu yang
akan membantu anda sepanjang pengajaran semasa sesi praktikum selama tiga bulan yang akan anda kendalikan nanti.

Bagaimanakah penampilan yang sesuai bagi seorang guru pelatih? Perlukah gurupelatih tersebut menemui pereka fesyen ataupun mendapatkan pakaian baru di butik-butik terkenal? Jawapannya tentu sekali tidak. Seseorang guru pelatih perlu menampilkan imej yang kemas, menyakinkan, tenang dan profesional. Apa yang dimaksudkan di sini ialah guru-guru pelatih wanita tidak perlu mengenakan hiasan dan solekan yang berlebihanlebihan dan bagi guru pelatih lelaki tidaklah terlalu kasual. Kronowitz (2004) mengatakan penampilan yang kemas dan profesional pada hari pertama seorang guru pelatih melangkahkan kaki ke sekolah akan membantu guru tersebut untuk lebih berkeyakinan untuk berhadapan dengan realiti di sekolah. Perlu diingat, sebelum guru mengurus pelajar, guru perlu mengurus dirinya terlebih dahulu. Apabila melangkah masuk ke dalam bilik darjah pada kali pertama, guru pelatih perlu memulakan pertemuan tersebut dengan sesi perkenalan. Kronowitz (2004).

menyenaraikan tip-tip berikut yang amat ringkas bagi seorang guru pelatih untuk memulakan sesi perkenalan dengan pelajar di dalam bilik darjah iaitu “remember the acronym WISHES – Welcome, Introduction, Share Hopes, Establish Standards, this is your formula for a good start on the first day” (Kronowitz, 2004:148). Jelaslah di sini bahawa permulaan yang baik secara langsung akan membantu guru pelatih untuk mengurus bilik darjah dengan mudah dan lancar sepanjang sesi praktikum di sekolah.

Pengetahuan guru pelatih mengenai nama dan latar belakang pelajar akan dapat membantu mengeratkan lagi hubungan dengan pelajar sekaligus dapat membantu guru pelatih mengawal bilik darjahnya dengan baik dan cekap. Kaedah ini akan memudahkan guru pelatih untuk berkomunikasi dan berinteraksi dengan pelajarnya ketika proses pengajaran dan pembelajaran berlaku ataupun ketika berurusan di luar bilik darjah. Pelajar akan berasa bangga dan dihargai apabila mereka dipanggil oleh guru. Perkara ini amat jelas kepentingannya dan turut ditegaskan oleh Bartlett (2004), beliau menyatakan seorang guru perlu mengingati nama dan mengetahui latar belakang pelajar-pelajarnya.Secara tidak langsung akan menunjukkan guru itu mengambil berat terhadap kesemua pelajarnya di bilik darjah. Pelajar akan merasakan hubungan yang lebih rapat dan mesra dengan guru. Guru pula mampu mendekati pelajarnya, memilih teknik yang paling sesuai untuk mendidik dan seterusnya mendorong mereka untuk terus berusaha ke arah peningkatan kecemerlangan akademik serta sahsiah diri mereka.

Prosedur menetapkan peraturan di bilik darjah sangat penting sebagai garis panduan kepada tingkah laku pelajar di bilik darjah yang diharapkan oleh guru pelatih. Jelaslah untuk mengurus bilik darjah dengan baik, guru pelatih perlu menetapkan peraturan di bilik darjah yang telah dipersetujui bersama oleh pelajar sebagai satu kontrak yang dapat mengawal tingkah laku mereka. Antara contoh peraturan yang perlu diwujudkan ialah seperti peraturan mengenai apa yang perlu dilakukan oleh pelajar ketika guru mengambil kedatangan pelajar, penggunaan cecair pemadam, bagaimana prosedur menjawab pertanyaan guru dan juga peraturan khusus apabila aktiviti kumpulan dijalankan. Kontrak yang ditandatangani ini akan dirujuk sekiranya pelajar melakukankesalahan.

 Robertson (1989) menyatakan guru pelatih perlu yakin, tegas dan mengetahui tentang haknya untuk bertindak dalam menguruskan tingkah laku pelajar di bilik darjah.Oleh itu, guru pelatih perlu tegas dan konsisten dengan apa yang telah ditetapkan dalam prosedur peraturan tanpa ada pengecualian kepada mana-mana pelajar. Guru juga perlu menjelaskan harapannya terhadap pelajar dan perkara-perkara yang tidak disukai dilakukan oleh pelajar. Guru pelatih juga perlu membuat perancangan yang rapi berkaitan dengan susun atur di bilik darjah. Susunan yang baik seharusnya membolehkan guru memerhati semua pelajarnya dan seterusnya dapat mengendali bilik darjah dengan mudah. Ruang yang kerap digunakan sepatutnya tidak mempunyai sebarang bentuk halangan dan mudah dilalui. Pelajar juga perlu berada di dalam kedudukan yang selesa di mana mereka boleh melihat guru ataupun sebarang persembahan pengajaran oleh guru tanpa perlu berpaling ataupun bergerak ke mana-mana. Bahan yang kerap digunakan di dalam bilik darjah seperti buku rujukan dan kad kebenaran keluar bilik darjah sepatutnya ditempatkan di tempat yang mudah diambil apabila diperlukan.Selain daripada itu, perhiasan yang tidak keterlaluan di dalam bilik darjah juga perlu difikirkan oleh guru untuk meningkatkan keceriaan bilik darjah dan seterusnya meningkatkan motivasi dalaman guru dan pelajar untuk proses pengajaran dan pembelajaran. Kronowitz (2004) mencadangkan agar guru menyediakan satu sudut yang boleh membantu pelajar mengisi masa yang terluang dalam satu suasana yang berbeza berbanding bilik darjah mereka tetapi masih mengekalkan budaya belajar pada ruang tersebut seperti perpustakaan mini. Ruang ini bolehlah dihiasi dengan hiasan yang ringkas dan unik agar pelajar merasa selesa dan tenang. Marsh (2004) turut memberikan idea yang sama dengan Kronowitz. Marsh (2004) mengatakan bahawa tindakan guru meletakkan tumbuhan ataupun binatang peliharaan seperti ikan atau burung di dalam bilik darjah akan membantu pelajar membina sikap bertanggungjawab dalam diri mereka melalui tugas mereka dalam menguruskan tumbuhan ataupun binatang peliharaan tersebut. Glenn (2001) menegaskan bahawa environmen bilik darjah yang ceria dan gembira akan mendorong ke arah pembelajaran yang lebih memberangsangkan.


Guru pelatih juga perlu membina dan menjaga hubungan baik dengan pelajar.Dalam menguruskan pelajar, guru pelatih perlu bersabar dan banyak bertolak ansur untuk memenangi hati pelajar agar pelajar akan menghormati guru sebagai pendidik mereka. Barbetta (2005) menyenaraikan beberapa kesilapan yang dilakukan oleh guru pelatih dalam mengendalikan tingkah laku pelajarnya. Beliau ada menegaskan bahawa pujian guru merupakan satu kaedah yang bernilai dan berkesan untuk membantu pelajar mengubah tingkah laku mereka seterusnya meningkatkan proses pembelajaran di bilik darjah. Menurut Model (2005) pula, pelajar yang tidak pernah dipuji tentang tingkah laku mereka yang positif, tidak akan mempunyai motivasi yang tinggi untuk mengukir kejayaan di dalam pelajarannya. Spitall (2005) bersetuju dengan pandangan oleh Barbetta (2005) dan Model (2005) dengan menasihatkan guru pelatih agar mengelak daripada menggunakan sindiran ketika menasihati pelajar yang bermasalah. Jika seorang guru pelatih menggunakan sindiran untuk menegur kesilapan yang dilakukan oleh pelajarnya membuahkan hasil yang tidak diingini. Sindiran ini akan lebih mendorong pelajar meneruskan kesilapan mereka sebagai balasan kepada sindiran guru terhadap
perbuatannya.


Guru pelatih perlu akur dengan kenyataan ini kerana tanpa peneguhan, sikap positif yang dilakukan oleh seorang pelajar akan dianggap seperti tidak mendatangkan apa-apa faedah terhadap pelajar yang melakukannya. Menurut Glenn (2001), guru pelatih perlu menunjukkan contoh sikap yang baik kepada pelajar seperti mengambil berat, bertanggungjawab dan hormat-menghormati agar pelajar turut bertindak seperti apa yang guru mereka pamerkan.


Di samping persediaan fizikal, persediaan guru pelatih untuk mengurus subjek yang diajar juga memerlukan perhatian yang sepenuhnya agar tugas guru menjadi lebih lancar dan sempurna. Guru pelatih sangat perlu mengetahui dan memahirkan diri mereka dengan subjek yang akan diajar. Kandungan pelajaran juga perlulah disampaikan secara tersusun dan berperingkat-peringkat.


Watson (1998) menasihatkan agar guru-guru pelatih membuat perancangan yang rapi sebelum memulakan sesi pengajaran di dalam bilik darjah agar guru mengetahui apa yang akan diajar kepada pelajar. Guru pelatih sangat perlu memahirkan diri dengansegala isi kandungan subjeknya agar dapat mengajar dengan yakin seterusnya melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Pelajar juga akan berasa lebih bersemangat untuk belajar kerana mereka melihat guru mereka sebagai seorang berpengetahuan yang mampan untuk mengajar mereka tentang subjek itu.Sebagai contoh, seorang guru pelatih yang ingin mengajar subjek Matematik perlu mahir dengan semua rumus dan teori yang berkaitan dengan tajuk yang diajar agar guru dapat menyelesaikan apa jua bentuk permasalahan yang dikemukan oleh pelajar.


Pelajar pintar akan cuba menguji guru pelatih dengan mengajukan pelbagai soalan untuk melihat setakat manakah kebolehan seorang guru untuk mengajar mereka. Selain itu, guru pelatih perlu memahirkan diri dalam menguruskan tugasan, latihan dan ujian yang perlu dibekalkan kepada pelajar untuk mengukuhkan lagi apa yang telah diajar di bilik darjah. Guskey (2003) mengatakan bahawa penilaian merupakan satu aset penting yang dapat membantu guru pelatih meningkatkan proses pembelajaran pelajar. Chappuis dan Stiggins (2002) turut mengatakan bahawa penglibatan pelajar dalam ujian yang disediakan oleh guru mereka akan dapat menguruskan pembelajaran kendiri mereka seterusnya memahami bagaimana langkah yang perlu diambil untuk memantapkan lagi pembelajaran mereka.


Untuk melengkapkan kemahiran seorang guru pelatih, mereka perlu menitikberatkan ketrampilan penyampaian ketika memulakan sesi pengajaran di bilik darjah. Kemahiran set induksi merupakan kemahiran utama yang perlu dikuasai oleh seorang guru pelatih dalam menarik minat serta merangsang pelajar supaya menumpukan perhatian terhadap aktiviti pengajaran yang akan disampaikan. Set induksi yang dijalankan ini perlulah menarik, bersesuaian dengan tahap pelajar dan berkaitan dengan isi pelajaran serta pengetahuan sedia ada pelajar. Kesannya, pelajar akan bersedia, aktif dan seronok dalam meneruskan aktiviti pembelajaran mereka.





















Tiada ulasan:

Catat Ulasan