Ahad, 3 Mac 2013

PENGENALAN


"Ish.. ish... apa nak jadi dengan kelas ni," 

Keluh Cikgu Daniel setiap kali masuk ke Kelas 3 Mesra. "Murid-murid, sila duduk di tempat masing-masing", arah Cikgu Daniel. Semua murid tidak mengendahkan arahan Cikgu Daniel. Cikgu Daniel terus memulakan pengajaran pada waktu itu tanpa mempedulikan murid-murid yang masih berkeliaran dalam bilik darjahnya. Apabila sesi pengajaran berakhir, Cikgu Daniel terus meninggalkan kelas tanpa mempedulikan murid-murid yang masih leka dengan hal masing-masing.


BERHENTI DAN FIKIR SEJENAK

Sewaktu anda berada di sekolah, pernahkah anda melihat atau mengalami sendiri situasi sebegini? Pada pandangan anda, mengapakah murid-murid ini tidak mahu mendengar arahan Cikgu Daniel? Adakah Cikgu Daniel seorang guru yang kurang berkesan kerana tidak berupaya menguruskan pelajar-pelajar ini dengan baik? Apakah yang dapat anda lakukan sekiranya anda berada pada posisi Cikgu Daniel?

Kaedah yang diguna pakai oleh kebanyakan guru untuk menangani masalah disiplin bilik darjah ialah dengan menunjukkan reaksi terhadap tingkah laku muridnya tanpa mengenal pasti punca masalah terlebih dahulu. Dalam kebanyakan kes, guru tidak mempertimbangkan sama ada reaksi tersebut adalah tepat, wajar, dan bermanfaat kepada murid-murid dan situasi pembelajaran dalam bilik darjah ataupun sebaliknya. Dalam senario di atas, kita dapati Cikgu Daniel tidak mengendahkan tingkah laku murid-muridnya malahan terus mengajar dalam suasana tersebut. Akhirnya, suasana kelas 3 Mesra dibiarkan berlanjutan sehingga sesi pengajaran beliau berakhir. Beliau juga terus meninggalkan kelas tersebut selepas itu. 

Seandainya perkara ini berlanjutan, apakah implikasi yang akan dihadapi oleh pelajar-pelajar ini pada masa akan datang?

Blog ini akan menghuraikan beberapa aspek berhubung dengan pengurusan bilik darjah termasuk peranan dan tindakan guru dalam mengalami masalah disiplin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan