Khamis, 14 Mac 2013

SKUAD, SKUAD SEDIA!



1. Guru mewujudkan suasana seperti di medan peperangan di dalam kelas
2. Pelajar-pelajar dibahagikan kepada 2 kumpulan.
3. Guru memberi peringatan kepada pelajar agar semua berada di dalam keadaan berjaga-jaga


4. Setiap kali murid menunjukkan tingkahlaku bermasalah, bunyi 'bommm' atau bunyi tembakan akan dimainkan oleh guru dan murid tersebut dikira sebagai anggota tentera yang cedera. Penalti markah dikenakan kepada kumpulan pelajar tersebut.
5. Setiap kali murid menunjukkan tingkahlaku positif, guru menyuruh pelajar lain bertepuk tangan dan mengumumkan kenaikan pangkat pelajar tersebut seperti "Dinaikkan Pangkat menjadi Jeneral" dan
sebagainya.




6. Pada akhir kelas, guru akan mengumumkan kumpulan mana yang memenangi pertempuran tersebut.
7. Permainan ini boleh diulang pada sesi pengajaran dan pembelajaran yang seterusnya.

ASAS-ASAS KEMAHIRAN PENGURUSAN BILIK DARJAH



Kebelakangan ini tentunya tiada siapa yang dapat menafikan bahawa kerjaya sebagai seorang guru banyak dibebani dengan pelbagai tugas yang rencam dan tidak profesional. Beban tugas yang dipertanggungjawabkan ini mungkin akan memberi beberapa implikasi positif dan negatif kepada kerjaya seorang guru khususnya guru pelatih. Apapun tugas yang perlu dilakukan, seorang guru, mereka haruslah bijak mengurus dan mengatur masa dalam memastikan segala tugas sampingan yang dipertanggungjawabkan ini tidakmengganggu tugas utama mereka mengurus bilik darjah dengan baik.

Menurut pendapat yang disuarakan oleh guru-guru pelatih, pengurusan bilik darjah merupakan komponen yang paling sukar untuk dikuasai walaupun banyak teori yang telah dipelajari dan banyak teknik yang telah cuba diaplikasikan. Masalah ini seolah-olah tiada penawar yang dapat menyelesaikannya secara pantas dan tuntas. Pengurusan bilik darjah termasuklah mengurus tingkah laku pelajar merupakan kemahiran yang hanya
akan dicapai melalui pengalaman mengajar. Perkara utama yang perlu diberi perhatian oleh guru pelatih ialah bagaimana beliau akan mengurus bilik darjah pada hari pertama beliau melangkah masuk ke bilik darjah
untuk mengajar. Para pelajar secara langsung akan terus menilai guru yang akan mengajar mereka. Bagi mereka guru tersebut merupakan individu yang begitu asing buat mereka dan mereka akan meneliti setiap gerak-geri guru pelatih tersebut sebelum mereka menunjukkan tingkah laku mereka yang sebenar. 

Sebagai seorang guru pelatih, anda perlu lebih bersedia dan merancang apakah yang akan anda lakukan pada kali pertama melangkah masuk ke dalam bilik darjah. Elemen-elemen ini merupakan sesuatu yang
akan membantu anda sepanjang pengajaran semasa sesi praktikum selama tiga bulan yang akan anda kendalikan nanti.

Bagaimanakah penampilan yang sesuai bagi seorang guru pelatih? Perlukah gurupelatih tersebut menemui pereka fesyen ataupun mendapatkan pakaian baru di butik-butik terkenal? Jawapannya tentu sekali tidak. Seseorang guru pelatih perlu menampilkan imej yang kemas, menyakinkan, tenang dan profesional. Apa yang dimaksudkan di sini ialah guru-guru pelatih wanita tidak perlu mengenakan hiasan dan solekan yang berlebihanlebihan dan bagi guru pelatih lelaki tidaklah terlalu kasual. Kronowitz (2004) mengatakan penampilan yang kemas dan profesional pada hari pertama seorang guru pelatih melangkahkan kaki ke sekolah akan membantu guru tersebut untuk lebih berkeyakinan untuk berhadapan dengan realiti di sekolah. Perlu diingat, sebelum guru mengurus pelajar, guru perlu mengurus dirinya terlebih dahulu. Apabila melangkah masuk ke dalam bilik darjah pada kali pertama, guru pelatih perlu memulakan pertemuan tersebut dengan sesi perkenalan. Kronowitz (2004).

menyenaraikan tip-tip berikut yang amat ringkas bagi seorang guru pelatih untuk memulakan sesi perkenalan dengan pelajar di dalam bilik darjah iaitu “remember the acronym WISHES – Welcome, Introduction, Share Hopes, Establish Standards, this is your formula for a good start on the first day” (Kronowitz, 2004:148). Jelaslah di sini bahawa permulaan yang baik secara langsung akan membantu guru pelatih untuk mengurus bilik darjah dengan mudah dan lancar sepanjang sesi praktikum di sekolah.

Pengetahuan guru pelatih mengenai nama dan latar belakang pelajar akan dapat membantu mengeratkan lagi hubungan dengan pelajar sekaligus dapat membantu guru pelatih mengawal bilik darjahnya dengan baik dan cekap. Kaedah ini akan memudahkan guru pelatih untuk berkomunikasi dan berinteraksi dengan pelajarnya ketika proses pengajaran dan pembelajaran berlaku ataupun ketika berurusan di luar bilik darjah. Pelajar akan berasa bangga dan dihargai apabila mereka dipanggil oleh guru. Perkara ini amat jelas kepentingannya dan turut ditegaskan oleh Bartlett (2004), beliau menyatakan seorang guru perlu mengingati nama dan mengetahui latar belakang pelajar-pelajarnya.Secara tidak langsung akan menunjukkan guru itu mengambil berat terhadap kesemua pelajarnya di bilik darjah. Pelajar akan merasakan hubungan yang lebih rapat dan mesra dengan guru. Guru pula mampu mendekati pelajarnya, memilih teknik yang paling sesuai untuk mendidik dan seterusnya mendorong mereka untuk terus berusaha ke arah peningkatan kecemerlangan akademik serta sahsiah diri mereka.

Prosedur menetapkan peraturan di bilik darjah sangat penting sebagai garis panduan kepada tingkah laku pelajar di bilik darjah yang diharapkan oleh guru pelatih. Jelaslah untuk mengurus bilik darjah dengan baik, guru pelatih perlu menetapkan peraturan di bilik darjah yang telah dipersetujui bersama oleh pelajar sebagai satu kontrak yang dapat mengawal tingkah laku mereka. Antara contoh peraturan yang perlu diwujudkan ialah seperti peraturan mengenai apa yang perlu dilakukan oleh pelajar ketika guru mengambil kedatangan pelajar, penggunaan cecair pemadam, bagaimana prosedur menjawab pertanyaan guru dan juga peraturan khusus apabila aktiviti kumpulan dijalankan. Kontrak yang ditandatangani ini akan dirujuk sekiranya pelajar melakukankesalahan.

 Robertson (1989) menyatakan guru pelatih perlu yakin, tegas dan mengetahui tentang haknya untuk bertindak dalam menguruskan tingkah laku pelajar di bilik darjah.Oleh itu, guru pelatih perlu tegas dan konsisten dengan apa yang telah ditetapkan dalam prosedur peraturan tanpa ada pengecualian kepada mana-mana pelajar. Guru juga perlu menjelaskan harapannya terhadap pelajar dan perkara-perkara yang tidak disukai dilakukan oleh pelajar. Guru pelatih juga perlu membuat perancangan yang rapi berkaitan dengan susun atur di bilik darjah. Susunan yang baik seharusnya membolehkan guru memerhati semua pelajarnya dan seterusnya dapat mengendali bilik darjah dengan mudah. Ruang yang kerap digunakan sepatutnya tidak mempunyai sebarang bentuk halangan dan mudah dilalui. Pelajar juga perlu berada di dalam kedudukan yang selesa di mana mereka boleh melihat guru ataupun sebarang persembahan pengajaran oleh guru tanpa perlu berpaling ataupun bergerak ke mana-mana. Bahan yang kerap digunakan di dalam bilik darjah seperti buku rujukan dan kad kebenaran keluar bilik darjah sepatutnya ditempatkan di tempat yang mudah diambil apabila diperlukan.Selain daripada itu, perhiasan yang tidak keterlaluan di dalam bilik darjah juga perlu difikirkan oleh guru untuk meningkatkan keceriaan bilik darjah dan seterusnya meningkatkan motivasi dalaman guru dan pelajar untuk proses pengajaran dan pembelajaran. Kronowitz (2004) mencadangkan agar guru menyediakan satu sudut yang boleh membantu pelajar mengisi masa yang terluang dalam satu suasana yang berbeza berbanding bilik darjah mereka tetapi masih mengekalkan budaya belajar pada ruang tersebut seperti perpustakaan mini. Ruang ini bolehlah dihiasi dengan hiasan yang ringkas dan unik agar pelajar merasa selesa dan tenang. Marsh (2004) turut memberikan idea yang sama dengan Kronowitz. Marsh (2004) mengatakan bahawa tindakan guru meletakkan tumbuhan ataupun binatang peliharaan seperti ikan atau burung di dalam bilik darjah akan membantu pelajar membina sikap bertanggungjawab dalam diri mereka melalui tugas mereka dalam menguruskan tumbuhan ataupun binatang peliharaan tersebut. Glenn (2001) menegaskan bahawa environmen bilik darjah yang ceria dan gembira akan mendorong ke arah pembelajaran yang lebih memberangsangkan.


Guru pelatih juga perlu membina dan menjaga hubungan baik dengan pelajar.Dalam menguruskan pelajar, guru pelatih perlu bersabar dan banyak bertolak ansur untuk memenangi hati pelajar agar pelajar akan menghormati guru sebagai pendidik mereka. Barbetta (2005) menyenaraikan beberapa kesilapan yang dilakukan oleh guru pelatih dalam mengendalikan tingkah laku pelajarnya. Beliau ada menegaskan bahawa pujian guru merupakan satu kaedah yang bernilai dan berkesan untuk membantu pelajar mengubah tingkah laku mereka seterusnya meningkatkan proses pembelajaran di bilik darjah. Menurut Model (2005) pula, pelajar yang tidak pernah dipuji tentang tingkah laku mereka yang positif, tidak akan mempunyai motivasi yang tinggi untuk mengukir kejayaan di dalam pelajarannya. Spitall (2005) bersetuju dengan pandangan oleh Barbetta (2005) dan Model (2005) dengan menasihatkan guru pelatih agar mengelak daripada menggunakan sindiran ketika menasihati pelajar yang bermasalah. Jika seorang guru pelatih menggunakan sindiran untuk menegur kesilapan yang dilakukan oleh pelajarnya membuahkan hasil yang tidak diingini. Sindiran ini akan lebih mendorong pelajar meneruskan kesilapan mereka sebagai balasan kepada sindiran guru terhadap
perbuatannya.


Guru pelatih perlu akur dengan kenyataan ini kerana tanpa peneguhan, sikap positif yang dilakukan oleh seorang pelajar akan dianggap seperti tidak mendatangkan apa-apa faedah terhadap pelajar yang melakukannya. Menurut Glenn (2001), guru pelatih perlu menunjukkan contoh sikap yang baik kepada pelajar seperti mengambil berat, bertanggungjawab dan hormat-menghormati agar pelajar turut bertindak seperti apa yang guru mereka pamerkan.


Di samping persediaan fizikal, persediaan guru pelatih untuk mengurus subjek yang diajar juga memerlukan perhatian yang sepenuhnya agar tugas guru menjadi lebih lancar dan sempurna. Guru pelatih sangat perlu mengetahui dan memahirkan diri mereka dengan subjek yang akan diajar. Kandungan pelajaran juga perlulah disampaikan secara tersusun dan berperingkat-peringkat.


Watson (1998) menasihatkan agar guru-guru pelatih membuat perancangan yang rapi sebelum memulakan sesi pengajaran di dalam bilik darjah agar guru mengetahui apa yang akan diajar kepada pelajar. Guru pelatih sangat perlu memahirkan diri dengansegala isi kandungan subjeknya agar dapat mengajar dengan yakin seterusnya melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Pelajar juga akan berasa lebih bersemangat untuk belajar kerana mereka melihat guru mereka sebagai seorang berpengetahuan yang mampan untuk mengajar mereka tentang subjek itu.Sebagai contoh, seorang guru pelatih yang ingin mengajar subjek Matematik perlu mahir dengan semua rumus dan teori yang berkaitan dengan tajuk yang diajar agar guru dapat menyelesaikan apa jua bentuk permasalahan yang dikemukan oleh pelajar.


Pelajar pintar akan cuba menguji guru pelatih dengan mengajukan pelbagai soalan untuk melihat setakat manakah kebolehan seorang guru untuk mengajar mereka. Selain itu, guru pelatih perlu memahirkan diri dalam menguruskan tugasan, latihan dan ujian yang perlu dibekalkan kepada pelajar untuk mengukuhkan lagi apa yang telah diajar di bilik darjah. Guskey (2003) mengatakan bahawa penilaian merupakan satu aset penting yang dapat membantu guru pelatih meningkatkan proses pembelajaran pelajar. Chappuis dan Stiggins (2002) turut mengatakan bahawa penglibatan pelajar dalam ujian yang disediakan oleh guru mereka akan dapat menguruskan pembelajaran kendiri mereka seterusnya memahami bagaimana langkah yang perlu diambil untuk memantapkan lagi pembelajaran mereka.


Untuk melengkapkan kemahiran seorang guru pelatih, mereka perlu menitikberatkan ketrampilan penyampaian ketika memulakan sesi pengajaran di bilik darjah. Kemahiran set induksi merupakan kemahiran utama yang perlu dikuasai oleh seorang guru pelatih dalam menarik minat serta merangsang pelajar supaya menumpukan perhatian terhadap aktiviti pengajaran yang akan disampaikan. Set induksi yang dijalankan ini perlulah menarik, bersesuaian dengan tahap pelajar dan berkaitan dengan isi pelajaran serta pengetahuan sedia ada pelajar. Kesannya, pelajar akan bersedia, aktif dan seronok dalam meneruskan aktiviti pembelajaran mereka.





















PENGURUSAN BILIK DARJAH



Bilik darjah merupakan medan perjuangan utama seorang guru menjalankan tugas,peranan dan tanggung jawab. Seseorang guru akan diklasifikasikan sebagai tidak melaksanakan tugas sekiranya amanah ini diabaikan walaupun beliau merupakan seorang juara masyarakat yang paling komited di luar bilik darjah atau di luar sekolah. Seseorang itu tidak akan dikatakan sebagai pemain jika sekadar duduk di luar padang walaupun mempunyai kemahiran sebagai juara. Sehubungan dengan itu, bilik darjah perlu diurus dengan keadaan terbaik dan kondusif agar pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan efektif serta guru boleh dinobatkan sebagai pendidik berketerampilan cemerlang.

Pada asanya, pengurusan bilik darjah merupakan kemahiran yang agak sukar dikuasai walaupun banyak teori dan teknik yang telah dipelajari oleh guru pelatih di universiti maupun di institut-institut perguruan. Sekiranya kemahiran ini dapat dikuasai dan dihayati oleh guru pelatih, proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah akan menjadi pengalaman yang menyeronokkan. Bilik darjah yang mempunyai pelajar-pelajar yang bertingkah laku baik menjadikan tugas pengajaran guru “one of the most wonderful jobs in the world” kerana setiap hari guru mengalami pelbagai pengalaman yang baru dan berbeza di bilik darjah.

Guru berpeluang melihat pelajar mereka mempelajari sesuatu yang baru setiap hari; berpeluang melihat kepuasan di wajah pelajarnya bila mereka mendapat ilmu yang mereka tidak pernah ketahui atau alami sebelum ini. Walau apapun pelajar kita tidak mudah melupakan guru yang baik, tetapi apakah sebenarnya maksud menjadi seorang“guru yang baik?” Salah satu ciri yang asas untuk menjadi guru yang baik adalah kemampuan mengurus bilik darjah dan mengawal tingkah laku pelajar agar proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan lancar. Kemampuan mengawal tingkah laku pelajar menjadi sangat penting sekiranya seseorang guru mengajar di sekolah yang menghadapi masalah tingkah laku yang serius.

Fungsi utama anda sebagai seorang guru, adalah berusaha untuk memotivasi pelajar untuk belajar. Ini boleh berlaku sekiranya anda boleh membuat pelajar itu memberi sepenuh perhatian, berdisiplin dan bertingkah laku baik semasa sesi pengajaran anda. Setiap pelajar di sekolah memerlukan pendidikan yang baik yang boleh guru tawarkan. Menjadi tanggungjawab guru mencari jalan untuk mencapai matlamat ini. Di sesetengah sekolah mengurus dan mengawal tingkah laku para pelajarnya merupakan satu cabaran hebat yang perlu guru harungi bagi menjadikan pembelajaran dan pengajaran lebih kondusif di bilik darjah.

Guru-guru boleh mempelbagaikan kemahiran pengajaran dalam menjalankan tugas harian mereka di sekolah. Mereka perlu menjadi seorang yang pakar dalam subjek yang mereka ajar, dan juga mesti mempunyai kemahiran mengawal tingkah laku pelajar yang disruptif di bilik darjah agar proses pembelajaran dan pengajaran berlaku di bilik darjah.

Guru-guru pelatih yang menjalani praktikum kerap kali dibiarkan mereka `sink or swim’(Renard, 2003) dan ini mengakibatkan berlakunya kekecewaan dan kurang keyakinan di kalangan guru-guru pelatih dalam menghadapi realiti di bilik darjah.Idea-idea dan nasihat yang diberikan berdasarkan “common sense” dan
pemerhatian serta strategi yang telah berjaya diaplikasikan di bilik darjah. Harapan penulis agar artikel ini dapat menjadi sumber rujukan yang sangat berguna bagi guru pelatih untuk mereka mengaplikasikan idea-idea serta tips yang terdapat dalam blog ini apabila mengurus bilik darjah semasa mereka menjalankan tugas seharian.



'DIA BUDAK BAIK'


1. Guru menayangkan sebuah video kartun yang menunjukkan kisah seorang pelajar yang pandai dan bersikap baik. Contoh tajuk yang sesuai seperti:" Syamil budak Baik", atau mana-mana video yang sesuai

2. Setiap murid mendapat sehelai kertas berwarna dan pen marker. 
3. Sambil menonton kartun tersebut, murid-murid diminta menulis salah satu sikap positif yang dimiliki oleh watak utama kartun tersebut.
4. Guru menampalkan gambar watak utama kartun yang bersaiz besar pada papan kenyataan kelas.
5. Murid-murid di minta untuk melabelkan gambar tersebut dengan kertas-kertas warna bertulis sikap-sikap pelajar yang baik tadi


6. Watak tersebut dijadikan 'role-model' kepada kelas, guru memberitahu kepada pelajar bahawa sesiapa yang paling banyak mengikuti sikap baik watak tersebut akan mendapat hadiah ataupun ganjaran pada setiap hujung bulan.
7.Konsep peneguhan dilakukan kepada pelajar. Apabila pelajar melakukan kesalahan, guru menegur:
"Eh.. kenapa pukul kawan ni? Kalau Syamil kan, (merujuk kepada watak kartun tadi) dia tak pernah pukul kawan dia, Syamil sayang kawan dia. Nak jadi baik macam Syamil tak?"
8. Pada penghujung setiap bulan, guru mengiktiraf pelajar yang mendapat penilaian tertinggi sebagai "tokoh pelajar mithali" bulanan. Yang akan dipakaikan 'button badge' istimewa yang diberikan oleh guru.



9. Senarai nama pelajar yang menjadi tokoh pelajar mithali akan ditampal dipapan kenyataan kelas sebagai motivasi kepada pelajar lain

LALALA CHAIR


 Alatan: Kerusi, Radio, Kaset

Cara Pelaksanaan:
 1. Murid-murid dibahagikan kepada 5 kumpulan.
2. Kerusi akan disusun secara bulatan dalam 5 kumpulan.
3. Setiap kumpulan terdapat 6 orang ahli.
4. Guru sebagai fasilitator.




Langkah-langkah:
1. Guru menerangkan cara dan peraturan permainan.
2. Murid dibahagikan kepada 5 kumpulan.
3. Murid-murid akan berdiri di belakang kerusi sambil menuggu muzik dimainkan.
4. Apabila muzik dimainkan, murid akan mengelilingi bulatan kerusi yang disusun.
5. Sejurus muzik dimatikan, murid-murid akan segera untuk mendapatkan kerusi.
6.Jika salah seorang daripada mereka tidak dapat duduk di salah satu kerusi, murid tersebut diminta untuk menjawab soalan yang dikemukakan guru.
7. Setiap jawapan yang berjaya dijawab akan diberikan guru-guru.



Isnin, 4 Mac 2013

PENYAKIT YANG BERBAHAYA DALAM JIWA MANUSIA

Oleh: Ustazah Nur Farahiyah Nordin

Sahabat-sahabat, pernah tak dengar pasal wabak SARS? atau denggi? atau H1N1??

Pengalaman ana sendiri, sewaktu berada di bangku sekolah dulu, pernah suatu ketika beberapa orang pelajar dari sekolah ana di jangkiti wabak H1N1. Ana masih ingat lagi, pengumuman daripada unit siaraya ketika itu menggemparkan seluruh warga SEMAI..


Sekolah ditutup!
Tiada interaksi selama seminggu..


Paling tidak dijangka, jadual pulang bermalam di rumah yang sepatutnya berkuatkuasa hujung minggu tersebut dibatalkan dan semua pelajar putera dan puteri tidak dibenarkan keluar dari kawasan sekolah. Seminggu tempoh kuarantin, jadual asrama seolah-olah digubal kembali, daripada menu dewan makan, sehinggalah khidmat perubatan yang disediakan. Lebih malang lagi, tidak ada pelawat yang dibenarkan memasuki kawasan sekolah, semua ini demi membersihkan kawasan sekolah kami daripada wabak tersebut.


Bila diingat dan direnung kembali, nampaknya macam dahsyat sangat wabak ni. Masa tu, bilik rawatan umpama kawasan hitam yang sangat digeruni oleh pelajar. Di dalamnya terlantar beberapa orang pelajar yang disahkan oleh doktor dijangkiti wabak ini, cubalah dekat jika hendak terkena sama.




Tapi, sebenarnya, tanpa kita sedari, ada penyakit yang jauh lebih dahsyat daripada wabak-wabak berbahaya seperti ini, bahkan, penyakit tersebut sudah lama menular dalam diri manusia, sama ada sedar, mahupun tidak. Sabda Rasulullah SAW:

Penyakit umat sebelum kamu telah menular kepada kamu; iaitu hasad dengki dan permusuhan. Permusuhan tersebut umpama pengikis dan pencukur. Aku tidak maksudkan ia mencukur rambut, tetapi ia mengikis agama (HR- Al-Baihaqi)


KISAH HABIL DAN QABIL


Kisah Habil dan Qabil seingat ana sudah lama menjadi 'cerita wajib hafal' disekolah rendah. Bahkan, ana yang duduk membesar dalam suasana pembelajaran yang serba dhaif di pedalaman Sabah sekalipun, dikisahkan mengenai kisah pembunuhan pertama dalam sejarah manusia ini. Namun, supaya kita merenung kembali, maka di sini, ana ceritakan kembali kisah yang masyhur ini: 


Kisah ini bermula, ketika Nabi Adam turun ke dunia. Disana Nabi Adam mula mencari makanan dan tempat tinggal. Sehinggalah baginda terjumpa kembali Hawa. Hawa melahirkan kembar dua pasang.Pertama lahirlah pasangan Qabil danadik perempuannya yang diberi nama "Iqlima",kemudian menyusul pasangan kembar kedua Habil dan adik perempuannya yang diberi nama "Labuda".


Apabila keempat-empat putera dan puteri pasangan ini mula mencapai tahap dewasa, Allah telah memberikan Nabi Adam ilham dan petunjuk agar kedua puteranya dikahwinkan dengan kedua puterinya.Qabil di kahwinkan dengan adik Habil yangbernama Labuda dan Habil di kahwinkan dengan adik Qabil yang bernama Iqlima.


Cara yang telah diilhamkan oleh Allah itu segera baginda sampaikan kepada kedua puteranya.Akan tetapi, tanpa diduga keputusan itu telah ditolak oleh Qabil dengan menyatakan bahawa dia tidak mahu mengahwini Labuda,adik Habil dengan alasan bahawa Labuda tidak secantik adiknya Iqlima.Dia berpendapat bahawa dia lebih patut mengahwini adiknya sendiri Iqlima sebagai isteri dan tidak rela menyerahkannya untuk dikahwini oleh Habil.


Demi menjaga keutuhan keluarganya, Nabi Adam dengan pasrah menyerahkan masalah tersebut kepada Tuhan untuk menentukannya.Akhirnya, Allah SWT yang Maha Adil telah mengilhamkan baginda agar menyuruh kedua-dua orang putera baginda untuk menyerahkan qurban kepada Allah, barang siapa yang di terima korbannya, maka dia berhak untuk menentukan siapa pasangannya. 


Maka, pada hari yang ditetapkan, dengan di saksikan seluruh anggota keluarga Nabi Adam, Qabil dan Habil mempersembahkan qurban masing-masing di atas bukit. Qabil mempersembahkan hasil pertaniannya dari gandum yang busuk dan tidak bermutu, sementara Habil mempersembahkan seekor kambing terbaik dan yang paling disayanginya.Dengan hati berdebar-debar, mereka semua menyaksikan apa yang bakal berlaku dari jauh. tak lama kemudian, kelihatan api besar menyambar kambing persembahan Habil, demikianlah korban yang dipersembahkan Habil diterima oleh Allah SWT. Akhirnya, berlangsunglah perkawinan Qabil dengan Labuda, dan Habil dengan Iqlima dalam keadaan Qabil tidak dapat menerima kenyataan tersebut.


Kisah ini berakhir dengan peristiwa tragis pembunuhan Habil oleh Qabil, sebagaimana telah diceritakan dalam Al-Quran:


“Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua putera Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya, ketika keduanya mempersembahkan korban, maka diterima dan salah seorang dan mereka (Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Qabil). Ia berkata (Qabil): “Aku pasti membunuhmu!” “Sungguh kalau kamu menggerakkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku sekali-kali tidak akan menggerakkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan seru sekalian ‘alam.” “Sesungguhnya aku ingin agar kamu kembali dengan (membawa) dosa (membunuh) ku dan dosamu sendiri, maka kamu akan menjadi penghuni neraka, dan yang demikian itulah pembalasan bagi orang-orang yang zalim. Maka hawa nafsu Qabil menjadikannya menganggap mudah membunuh saudaranya, sebab itu dibunuhnyalah, maka jadilah ia seorang di antara orang-orang yang merugi.” [Al-Ma’idah, 5:27-30]


Kisah yang termaktub di dalam Al-Quran ini mempunyai pelbagai pengajaran yang perlu dikaji, dan diambil iktibar oleh umat islam pada hari ini. Namun, untuk post kali ini ana ingin berfokus kepada betapa buruknya sifat hasad dengki yang ditunjukkan melalui kisah ini, yang sebenarnya dimulakan daripada iblis Laknatullah ketika ia enggan tunduk sujud kepada Nabi Adam As.


MUKMIN YANG DENGKI; ANCAMAN BUAT PENDA'IE

Penyakit hasad ini sebenarnya jauh lebih berbahaya daripada wabak SARS, HIV Aids, dan H1N1 yang ana ceritakan dipermulaan post tadi kerana hasad dengki bukan sahaja mampu membuatkan seseorang bertindak di luar akal yang waras, bahkan sanggup menggadaikan Agama Allah.


Dalam Al-Quran, Allah SWT telah menetapkan para pejuang dijalan Allah, agar sentiasa menjadi penguat antara satu sama lain dalam tugas menjaga dan membela agama Allah. Firman Allah SWT:


”Dan tolong menolonglah kamu dalam kebaikan dan takwa janganlah kamu tolong menolong dalam perbuatan dosa dan permusuhan.” (Al-Maidah: 2)


Namun, apa yang berlaku, para penda'ie yang menyeru manusia ke jalan Allah, khususnya yang mendapat sambutan yang baik, yang cergas, mashur dan berbakat sentiasa terdedah kepada cacian dan tohmahan orang-orang yang hasad dan dengki pada ilmu dan kelebihan-kelebihan lain yang dimiliki pendai'e. Golongan ini, walaupun ada yang mengetahui prinsip tolong-menolong dalam menegakkan agama Allah, sanggup mengenepikan perintah Allah semata-mata demi mencapai matlamat keduniaan yang bersifat sementara. Mereka ini sentiasa mengintai dan menunggu-nunggu masa yang baik untuik menjatuhkan imej penda'ie, walaupun pada hakikatnya, setiap mukmin itu adalah saudara kepada mukmin lainnya.







FAKTOR YANG MENYEBABKAN HASAD DENGKI

Al-Hujjatul Islam, Imam Al-Ghazali r.a menjelaskan ada beberapa perkara yang menyebabkan hasad dengki dalam kitabnya yang masyhur: Ihya' 'Ulumuddin,


1. Perasaan Permusuhan & Kebencian

Perasaan ini jika ada didalam hati seseorang, akan membawa kepada perasaan hasad kepada insan yang dibencinya, lebih-lebih lagi apabila insan tersebut memiliki bakat serta keistimewaan yang tidak dimiliki olehnya. Justeru perasaan inilah yang mendorongnya untuk menjatuhkan insan tersebut, demi memuaskan hatinya.


2. Merasa Diri Mulia

Perkara ini terjadi apabila timbul rasa tidak senang hati melihat ada orang lain yang mengatasi dirinya. Orang yang memiliki sikap ini sentiasa ingin terkehadapan dalam apa jua bidang, pada masa yang sama cuba menjatuhkan orang lain yang dianggapnya sebagai pesaingnya dengan apa cara jua, sekalipun bertentangan dengan hukum Allah.


3. Takabur

Jelasnya seseorang yang memiliki sifat ini memiliki watak membesarkan diri dihadapan orang lain, seringkali memperkecilkan dan memperhambakan orang lain. Apabila orang lain memperoleh suatu kurnia, dia bimbang dirinya tidak lagi diberikan perhatian, hilang pengaruh, atau perkataannya tidak lagi didengari oleh orang lain.


4. 'Ujub

Ujub bermaksud rasa takjub terhadap diri sendiri. Perkara ini justeru telah menghalang mereka menerima kebenaran. Banyak kisah diceritakan di dalam Al-Quran tentang bagaimana manusia-manusia yang bersifat 'ujub ini merasa hairan melihat ada insan pilihan yang diangkat menjadi rasul dan martabatnya dekat dengan Allah SWT, sehingga menjadi penyebab muncul perasaan hasad dengki dalam jiwa mereka. 


5. Takut terlepas Sesuatu tujuan &; habuan

Biasanya perasaan ini wujud dalam kalangan orang yang saling berlumba-lumba merebut sesuatu habuan, masing-masing akan merasa dengki kepada saingannya apabila saingannya mendapat sesuatu kelebihan yang boleh membantu dirinya mendapatkan habuan yang menjadi tujuan utama mereka tadi


6. Ghairah Menjadi Ketua dan Mencari Populariti

Ghairah terhadap pujian manusia, pangkat dan nama yang diberikan mendorong dan menguasai diri, apabila ada orang lain yang mendapat nama dan menandinginya, perkara ini akan membuatkan dia bersusah hati, dan mengharapkan dan berusaha agar sesuatu yang buruk menimpa tandingannya tadi supaya tidak ada yang dapat menandinginya


7. Busuk Hati

Sikap busuk hati ini mendorong manusia supaya berasa tidak suka akan sesuatu kebaikan diperoleh oleh hamba Allah yang lain; apabila disebutkan fulan bin fulan mendapat nikmat kurniaan Allah, hatinya menjadi sempit, dan tidak senang. Akan tetapi, apabila dikhabarkan bahawa fulan bin fulan ditimpa kesusahan, maka dia berasa gembira dan suka.






BAGAIMANA KITA MENGHADAPI PENDENGKI?

1.Dalam Al-Quran, Allah menganjurkan pendai'e agar berdoa supaya dijauhkan daripada manusia-manusia pendengki:


1. Katakanlah (Wahai Muhammad); "Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan Yang menciptakan sekalian makhluk,2. "Dari bencana makhluk-makhluk Yang ia ciptakan;3. "Dan dari bahaya gelap apabila ia masuk;4. "Dan dari kejahatan makhluk-makhluk Yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan);5. "Dan dari kejahatan orang Yang dengki apabila ia melakukan dengkinya".(Al-Falaq: 1-5)


2. Selaras dengan kaedah akhlak islami dan contoh yang ditunjukkan oleh para nabi dan salafussoleh, para pendai'e perlu berhati-hati dengan golongan pendengki, menjauhkan diri dari golongan pengumpat, mengelakkan pergaulan dengan mereka atau mendengar kata-kata mereka dengan tujuan semoga mereka menginsafi perbuatan mereka

3. Islam juga mewajibkan seorang muslim mempertahankan nama baik saudaranya, kerana sabda Rasulullah SAW:

“Perumpamaan orang-orang beriman dalam hal saling mencintai, saling mengasihi dan saling menyayangi adalah seperti satu tubuh. Apabila ada sebahagian dari tubuhnya sedang sakit, maka bahagian tubuh yang lain turut merasakannya, sehingga membuatnya tidak boleh tidur dan demam”. (HR_Muslim)

4. Seseorang pendai'e itu hendaklah sentiasa bersabar dan mendekatkan diri kepada Allah, dan perlu menguasai dirinya dari perasaan marah, dan rasa ingin membalas perbuatan khianat para pendengki dengan pelbagai helah yang didorong oleh hasutan syaitan dan nafsu.


5. Penda'ie perlulah berakhlak dengan akhlak islam sehingga wujud perasaan kasih dalam diri orang lain yang seterusnya menimbulkan ikatan ukhwah menyebabkan insan lain tidak sanggup menyakitinya apatah lagi memburuk-burukkannya


KESIMPULAN

Alhamdulillah, akhirnya perkongsian ilmiah ini dapat sampai kepada penghujungnya. Semoga perkongsian secara ringkas ini dapat menjauhkan diri kita daripada sifat hasad dengki yang boleh membuatkan manusia tercampak jauh daripada landasan jalan yang lurus lagi benar.Ingatlah, perasaan hasad itu mengikis agama seperti pencukur yang mencukur rambut.Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

Riba' itu ada 72 pintu, yang paling kecil dosanya ialah seperti melakukan hubungan jenis dengan ibu sendiri, dan sebesar-besar riba' ialah seseorang itu menghakis nama baik saudaranya.

(HR_At-Tabrani)


Oleh itu, marilah sama-sama kita mencegah penyakit hasad dengki ini agar tidak menular dan merosakkan hati-hati kita. Jika kita mampu mencegah wabak-wabak penyakit seperti H1N1 dengan pelbagai langkah dan kaedah, maka tidak perlu wujud alasan untuk tidak mencegah penyakit hasad dengki yang boleh mencampakkan kita ke dalam api neraka. Nauzubillah..



Biodata Penulis:
Ustazah Nur Farahiyah Nordin sedang menghabiskan pengajiannya di IPG Kampus Pendidikan Islam dalam pengkhususan Pengajian Islam. Beliau berkongsi artikelnya di: http://darimejatulisseorangpendidik.blogspot.com

GURU DAN KEMAHIRAN PROFESIONAL



Kemahiran profesional bermaksud seseorang itu mempunyai kemahiran dan pakar dalam bidang yang diceburinya. Seseorang yang memiliki kemahiran profesional mampu melaksanakan tugasnya tanpa banyak masalah yang timbul. Bagi seseorang yang profesional, dia bukan hanya mahir dalam bidang yang diceburinya, malah juga mempunyai pengetahuan dalam bidang-bidang lain.




Tiga ciri kemahiran profesional guru. 


Selain daripada memiliki sijil kelayakan kemahiran ikhtisas yang diikhtiraf, guru juga perlu mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran yang tinggi dalam banyak aspek, bukan sahaja mata pelajaran yang diajarnya. 
Bertanggungjawab dan memberikan perkhidmatan yang bermutu tinggi. 


Terlatih dan mahir dalam tugas-tugas mengajar dan membimbing murid-murid. 

Tiga bidang ilmu yang diperolehi dari kemahiran belajar melibatkan penggunaan mental 


1)Bidang kognitif 
2)Bidang afektif 
3)Bidang psikomotor 



Ciri guru yang menguasai kemahiran profesional berfikir 

1)Dapat menggunakan akal untuk menyelesaikan masalah. 
2)Mahir dalam penyusunan maklumat, konsep atau idea. 
3)Berfikir untuk menghasilkan sesuatu yang baru terutamanya dalam pengajaran. 


Peranan guru sebagai pemudahcara 


1)Memberi bimbingan, motivasi dan menggerakkan murid-murid dalam kelasnya agar menjalankan serta mengikuti aktiviti pembelajaran. 
2)Memastikan penggunaan strategi pengajaran berpusatkan murid dan berpusatkan bahan belajar. 


Kemahiran mengurus bilik darjah oleh guru.


1. Pengurusan rutin bilik darjah

• Kemahiran tersebut termasuklah menanda jadual kedatangan murid setiap hari persekolahan, mengutip yuran yang dikenakan kepada murid-murid, menyemak keadaan fizikal bilik darjah dan sebagainya.


2. Pengurusan peraturan-peraturan bilik darjah

• Guru harus menyediakan dan mengurus peraturan-peraturan yang perlu ada di dalam bilik darjah. Kita juga harus memastikan murid-murid mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan itu.


• Memberi ganjaran atau hukuman yang setimpal sekiranya murid-murid melanggar peraturan juga merupakan salah satu kemahiran yang perlu dalam kemahiran mengurus peraturan-peraturan bilik darjah.


Penggunaan komputer dalam pendidikan.

Tiga bidang komputer dalam konteks pendidikan ialah:

1. Komputer Membantu Pendidikan (CAE)

• Iaitu penggunaan sistem komputer yang akan digunakan oleh guru sebagai bahan bantu mengajar semasa proses pengajaran serta membantu mencapai objektif pelajaran.


2. Komputer Membantu Pengajaran (CAI)

• Merupakan penggunaan teknologi dan sistem komputer dalam proses pengajaran. Aplikasi komputer digunakan oleh pelajar terutamanya ketika mengikuti pelajaran terancang atau penggunaan modul-modul pengajaran.


3. Komputer mengurus pengajaran (CMI)

• Penggunaan teknologi dan sistem komputer bagi tujuan mengumpul maklumat data dan menganalisis serta menilai keberkesanan pengajaran di bilik darjah.



Dua kemahiran profesional yang perlu dikuasai oleh guru untuk meningkatkan mutu perkhidmatan.


1. Kemahiran Belajar


• Guru hendaklah sentiasa berusaha melengkapkan diri dengan mengemaskini ilmu pengetahuan dan kemahiran dari semasa ke semasa.


• Oleh yang demikian, guru haruslah mempunyai kemahiran belajar agar dapat menerima ilmu pengetahuan dengan sempurna. Sekiranya seseorang itu telah memiliki pelbagai kemahiran dan pengetahuan hasil daripada pembelajarannya, maka dia akan dapat menyampaikan ilmu tersebut kepada orang lain khususnya murid-murid.


2. Kemahiran Merancang


Guru yang mempunyai kemahiran merancang sebelum melaksanakan pengajaran akan berupaya memilih bahan-bahan pengajaran yang sesuai, memilih strategi dan kaedah mengajar serta dapat merancang aktiviti pengajaran yang sistematik.


Sekiranya guru dapat merancang pengajarannya dengan baik, ini akan menjamin keberkesanan pengajaran tersebut dan seterusnya meningkatkan mutu perkhidmatannya.